Kredit : Rancangan Sembang Tamu: Dilema Pengembara menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 16 April 2021 (Jumaat), pukul 10.00 pagi.
Link: https://www.youtube.com/watch?v=bQCPNh8Es1o
Antara perkara yang menarik perhatian saya semasa menonton rancangan ini adalah apabila Dr. Alia memberitahu bahawa beliau pernah mengembara ke Itali selama seminggu bersama rakan-rakannya pada usia 17 tahun. Bagi saya, usia 17 tahun merupakan usia yang sangat muda bagi remaja Melayu di Malaysia. Pengalaman yang dikongsikan oleh Dr. Alia tersebut membuat saya teruja untuk mengembara ke tempat yang jauh juga. Dr. Alia juga berkongsi bahawa perkara utama yang perlu ada untuk memulakan pengembaraan adalah sifat berani dalam diri. Kita perlulah berani mencabar diri sendiri untuk mengembara ke tempat baru kerana banyak perkara yang dapat kita belajar daripada memulakan langkah utama tersebut.
Selain itu, Dr. Alia juga berkongsi bahawa beliau juga pernah berasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan atau persekitaran tempat yang beliau mengembara kerana faktor bahasa dan budaya yang berlainan. Walau bagaimanapun, beliau juga memberitahu bahawa kita perlu yakin dan cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan orang tempatan dengan baik. Belajar bahasa tempatan adalah satu kemahiran yang baik untuk berkomunikasi dengan mereka di mana selalunya orang tempatan sangat mesra dengan pengembara yang ramah. Perkara ini membuat saya sangat teruja untuk belajar bahasa asing sesuatu tempat yang akan saya lawati pada masa akan datang.
Pada masa yang sama, Dr. Alia juga memberitahu bahawa ketika mengembara, kita perlu membuat persediaan yang rapi dan secukupnya dari segi kewangan, baju, makanan dan juga ubat-ubatan. Persediaan ini amat penting ketika membantu kita melalui pengembaraan yang sukar lebih-lebih lagi apabila mengembara seorang diri. Apa yang lebih penting adalah pencarian makanan yang halal di negara asing. Semua pasti suka dan teruja untuk mencuba makanan baharu dari setiap negara yang dijelajahi tetapi untuk mencari makanan yang halal kadang-kadang sukar. Tetapi itulah yang menyeronokkan di mana kita mengembara ke setiap tempat untuk mencari dan mencuba makanan halal. Tetapi jangan risau, banyak sahaja tempat-tempat diluar negara yang menyediakan makanan yang halal.
Apa yang penting adalah sediakan payung sebelum hujan. Hal ini kerana, pasti banyak cabaran yang akan kita lalui ketika mengembara ini tetapi perkara ini tidak akan mematahkan semangat kita untuk terus mengembara.
No comments:
Post a Comment